Monday, May 7, 2012

52.Masih Tergenggam Batu Di Tangan


Masih tergenggam batu di tangan
setelah kau lontarkan kebencian
bersuluh mentari
kembali kau bersembunyi
di balik lidi.

Telah terakam percikan
tompok-tompok darah
di kanvas sejarah
terlontar dari tangan-tangan hitam
yang kau silangkan
mencucuk mata kami.

Masih tergenggam batu di tangan
kau menghentak-hentak kaki
mencungkil mata kami
masih mahu kau bersembunyi
di balik lidi.

Yajuk
Bukit jering
25072011

 • SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Masih Tergenggam Batu Di Tangan disumbangkan pada Isnin, 25 Julai 2011 11:36:41 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 25 Julai 2011 11:36:41 AM oleh yajuk 

51.Meneguk Murni Cinta

Terpahat luka
di kanvas cinta anak merdeka
disentap berlari
meniti duri
memijak api.


Cinta berbunga dusta
berderetan di batas janji
membekam benci
diam menanti
memuntah api.

Bergugus Unggun
menyambar hati
membersih luka
menjernih langit merdeka
merintis jalan kemenangan
meneguk murni cinta.

Yajuk
Bukit jering
16072011

• SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Meneguk Murni Cinta disumbangkan pada Sabtu, 16 Julai 2011 10:07:33 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 16 Julai 2011 10:07:33 AM oleh yajuk 

50.Hanya Ini Sebidang Tanah

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah kau tanam benci
berkarut onak dan duri
telah terbelah hati
dalam reda yang terpaksa.


Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah luruh berguguran
daun-daun harapan
dalam selirat janji
yang kau palsukan
kami terjerat di jeriji demo kerasi.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
kenapa dizalimi
rakus kau,jangan memerah keringat kami
cerdik kau,jangan perbodohkan kami
gelojoh kau,jangan menjarah hak kami.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah tertanam benci di hati kami
kenapa terus kau zalimi
meyimbah petrol memadam api
yang dingin telah jadi berapi-api.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
kenapa kami dimusuhi dan diperangi
memilih kotor dari bersihZZZ
kembalikan Hak kami.

Yajuk
Bukit jering
09072011

• SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Hanya Ini Sebidang Tanah disumbangkan pada Ahad, 10 Julai 2011 2:30:01 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 10 Julai 2011 2:30:01 AM oleh yajuk 

49.Setia Sebatang Pokok Getah

Resah hatimu tuan
mengoyak  luka jasadku
tidak kau rasakan pedih luka ini
kerana darahku  yang putih
seputih bersih hatiku
berkorban sampai mati.


Telah berdekad setiaku
kutanam sedalam akarku
tidak kurungutkan resahku
walau pedih mencengkam tulang
tidak  kuwarwarkan rindu sepiku
walau sekadar sebaris mimpi
aku hanya abdi
tanpa ada pilihan diri.

Terus kau kutip mimpi
memerah putih darah
mencipta putih kehidupan
hingga tiada apa yang tinggal padaku
selain tulang-tulang telanjang.

Tapi aku bukan sebatang pokok getah
mimpikan hidup yang putih dan Bersih

Yajuk
Sri kembangan
24062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Setia Sebatang Pokok Getah disumbangkan pada Khamis, 30 Jun 2011 11:54:20 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 30 Jun 2011 11:54:20 PM oleh yajuk 

Saturday, May 5, 2012

48.Keretapi Malam


Keretapi Malam
laju di landasan
meninggalkan masa silam
di belakang tirai kehidupan
lenggok tarinya membisikkan
irama zikir sepanjang perjalanan.

Resah keretapi
memunggah muatan
adalah denyut harapan
memutih sendat mimpi
melintasi sempadan kenyataan.

Dan aku
sebahagian perjalanan ini
di landasan suratan.

Yajuk
Ekpres Wau(Dabong-kl)
23062011

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Keretapi Malam disumbangkan pada Isnin, 27 Jun 2011 11:05:03 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 27 Jun 2011 11:05:03 PM oleh yajuk 

47.Denyut Mimpi


Terbangun aku
dalam sepi yang memutih rasa
tenggelam dalam kalam Tuhan
membelek comok selimut hati
kemana denyut mimpi
di langit khayalan tak bertepi.

Kupeluk dingin malam
tanpa selimut mimpi
mendengarkan detik masa
tanpa henti membacakan kalam Tuhan
“sesungguhnya manusia itu dalam kerugian”.

Seperti denyut nadi
tanpa henti mengetuk pintu hati
bergetarkah hati?
dan terbangunkah jiwa ?
mendaki tangga abadi.

Dan aku terkedu di kamar penantian.

Yajuk
Bukit jering
18062011

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Denyut Mimpi disumbangkan pada Ahad, 19 Jun 2011 10:13:52 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 19 Jun 2011 10:13:52 PM oleh yajuk 

46.Basah Lidah Pasola Menteri


Basah lidah Pasola Menteri
membaca sumpah mantera
menghalau mendung awan
segera menutupi cahaya bulan
jangan ia menjadi sinar harapan
di tanah gersang pusaka bonda.

Basah lidah Pasola Menteri
membilang segala jasa
menukar biasiswa kepada pinjaman
bukankah sayangkan anak tangan-tangankan?
biarkan mereka berhutang sekeliling pinggang
menukar pengajaran matematik dan sains kepada BI
itukan bertaraf dunia bukan lagi jaguh kampong?
menukar royalti kepada wang ehsan untuk Kelantan
kerana royalti hanya untuk negeri kerabat dan taulan
dan menghapuskan segala subsidi
kerana kapal sudah hampir tenggelam
Rm2000 belum cukup untuk sara diri
menjadikan marhaen
ayam di kepuk mati kelaparan
itek di air mati kehausan.

Inilah Negara berkebajikan Pasola Menteri
menjadi pohon yang mati akar dan mati pucuk
Bulan semakin menjauh
tinggi meninggalkan tompok awan
gundah merusuh Pasola Menteri
susah menggugah terang cahaya
semakin jelas segala kepalsuan
54 tahun memerintah Negara berkebajikan
kemana hendak diletakkan pergantungan
bila tanah pusaka di serang garuda nanti.

Yajuk
Bukit jering
11062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Basah Lidah Pasola Menteri disumbangkan pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM oleh yajuk