Monday, April 30, 2012

37.Di Hujung Lidahnya


Di hujung lidahnya
dia mahu syahid.

Dia menghalalkan darah               
yang bakal tumpah
atas nama Allah

Yajuk
Taman Melawati
05032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Di Hujung Lidahnya disumbangkan pada Sabtu, 5 Mac 2011 3:54:17 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 5 Mac 2011 3:54:17 PM oleh yajuk 

36.Retak Air

Lembut dingin air
putih di luas tasik rindu
jernih cinta menyulam mimpi
tak putus air dicincang.


Retak air
cerminan hati
resah dihimpit tebing
pecah melontar amarah
terhadang keras tajam
batu-batu jeram.

Yajuk
Taman Melawati
02032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Retak Air disumbangkan pada Khamis, 3 Mac 2011 11:16:05 AM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 3 Mac 2011 11:16:05 AM oleh yajuk 

35.Hatinya Batu

Hatinya batu
lupa menghitung dosa
memahat arca benci
di hujung kalam senjanya
membelah retak cinta
angkuh yang meratah rindu
maruah musnah di rencam kuasa.


Telah tercakar egonya
dahaga darah
menyemah laman kuasa
membina piramid nafsunya
dan Allah menjadi sumpahan
di kandang zulmat hatinya.

Hatinya batu
kuburan cinta
darah tumpah
lenyai di suci sejadah
menyemah rumah Allah
ukhuwwah hilang wajah
syahadah tidak lagi menyatukan ummah.

Kau yang berhati batu
bukalah mata
lihat riwayat cinta
adalah kelangsungan hayat ini
dan dendam itu
menguburkan keagongan dan maruah
seperti terkuburnya Firaun di dasar Laut Merah.

Yajuk
Bukit jering
27022011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Hatinya Batu disumbangkan pada Isnin, 28 Februari 2011 7:34:29 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 28 Februari 2011 7:34:29 PM oleh yajuk

34.KuIntai Mentari Di Celah Daun


Merimbun daun
tumbuh meliar pohon-pohon
mengutip cahaya
dari pagi sampai senja
tidakkah sia-sia ?
tanpa menghasilkan buah.

Kuintai mentari di celah daun
tajam memanah retak hati
atma cintanya pecah
ada kesal ada amarah
juga keangkuhan rasa
dia yang memiliki cahaya
memang berhak mengutus kesal.

Melangkah mentari
pada galaksi hokum
siang yang tak pernah renggang
tak tahu menceroboh sempadan malam
tak mahu bulan berkecil hati
walau bulan sekadar menumpang.

Aku mengerti sifat mentari
menyalur kasih pada semua
tak memilih warna
sesekali komulus menghalang
retak luka hatinya
menirislah pilu resah hatinya
menjadi gerimis dingin mendamaikan
Ah!,bersatu mentari dengan hujan
memakmurkan.

Kuintai mentari di celah daun
kunampak di tinggi pucuk
kenapa pohon hidup sia-sia?
tumbuh meliar
sepanjang hayat tanpa ibadat.

Maha Kaya Tuhan
tidak kerugian apa-apa.

Yajuk
Bukit jering
14022012

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > KuIntai Mentari Di Celah Daun disumbangkan pada Sabtu, 19 Februari 2011 9:04:34 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 19 Februari 2011 9:04:34 PM oleh yajuk 

Sunday, April 29, 2012

33.Tahniah Cinta


Tahniah cinta
telah kau robek kebebalan
telah kau runtuhkan keangkuhan
dalam sorak sorai kemenangan
kau subur di laman
mengibar panji-panji kebenaran.

Tahniah cinta
Dataran Tahrir bernafas lega
Laut Merah terbelah jua
membuka laluan cinta
Abdul Aziz berlapang dada
menyatukan Zulaikha dengan Yusoff
di dakapan Asiah Musa menakluk Tursina
tempatnya terjamin di syurga
dan Palestin bercahaya,menerima Musa Rasul mereka.

Tahniah Mubarak
malu pada nama
bergulir memintal muslihat
yang rebah kebodohan
yang parah kebatilan
yang berkecai serakah nafsu
yang tegak kebijaksanaan
yang terbina titian rahmat
yang tersulam rindu dendam bumi kepada langit
lalu berkembang kepak cinta
memayungi subur harapan.

Tahniah cinta
telah mati rencam benci
Laut Merah tak perlu bersemah darah
telah patah runcing sembilu
buluh tak perlu berkecai buku.

Yajuk
Bukit jering
14022011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Tahniah Cinta(slide show) disumbangkan pada Selasa, 15 Februari 2011 11:16:49 PM • Kali terakhir diubah pada Selasa, 15 Februari 2011 11:16:49 PM oleh yajuk 

Wednesday, April 25, 2012

32.Merakam Senja


Merakam Senja

Tidak gusar mentari
dalam enggan
melintas garisan malam
kerna dia tahu
siang tidak pernah berhenti
mengekori.

Dan malam
adalah bayang-bayang gelap
yang tidak pernah mengerti
kewujudan mentari.

Kitalah di pentas hayat
merakam sempadan
antara dua kehidupan
jasmani dan rohani
seperti siang dan malam
bersatu tak bersentuh
berpisah tak berantara.

Merah berkelodak wajah mentari
melontar ingatan
senja adalah permulaan malam
waktu menghitung amalan
syurga atau neraka
adalah anugrah pilihan Tuhan.

Yajuk
Bukit jering
25012011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Merakam Senja disumbangkan pada Ahad, 13 Februari 2011 7:18:06 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 13 Februari 2011 7:18:06 AM oleh yajuk 

31.Yang Terperangkap Di Dataran Tahrir


Bangunlah cinta
ada amanah berserakan
ditindih serakah kuasa
yang rebah adalah kesabaran
yang tumbang adalah keadilan
yang terkepung adalah kebenaran
yang terperangkap adalah kau
bangunlah cinta
bakar kerak kebencian
yang berkarat biar lebur menjadi besi
moga kembali menjadi kapak parang dan gergaji.

Mundar mandir cinta
malu melafaz rindu
pada bulan tanpa cahaya
enggan menggantung harap
pada siang tanpa mentari
lalu yang terbakar adalah kasih Zulaikha
yang terpanggang adalah iman Asiah
yang terbelah adalah hati Siti Hawa
darah Habil tumpah dirobek nafsu Qabil
bersorak sorailah iblis
terpesong anak Adam dari pintu Syurga.

Terhuyung hayang cinta
menghimpun sumpah
menjadi sejuta kebencian campur dendam
menjelmalah sejuta kebangkitan
dari kelodak rasa kecewa
awas cinta
yang runcing adalah sembilu
jangan buluh berkecai buku.

Apakah akan terbelah Laut Merah?
bersimbah darah
membuka laluan cinta
dan terkubur Firaun
di dasar hitam hatinya.

Yajuk
Bukit jering
01022011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Yang Terperangkap Di Dataran Tahrir disumbangkan pada Isnin, 7 Februari 2011 8:19:49 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 7 Februari 2011 10:19:36 PM oleh dr.irwan