Monday, May 7, 2012

52.Masih Tergenggam Batu Di Tangan


Masih tergenggam batu di tangan
setelah kau lontarkan kebencian
bersuluh mentari
kembali kau bersembunyi
di balik lidi.

Telah terakam percikan
tompok-tompok darah
di kanvas sejarah
terlontar dari tangan-tangan hitam
yang kau silangkan
mencucuk mata kami.

Masih tergenggam batu di tangan
kau menghentak-hentak kaki
mencungkil mata kami
masih mahu kau bersembunyi
di balik lidi.

Yajuk
Bukit jering
25072011

 • SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Masih Tergenggam Batu Di Tangan disumbangkan pada Isnin, 25 Julai 2011 11:36:41 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 25 Julai 2011 11:36:41 AM oleh yajuk 

51.Meneguk Murni Cinta

Terpahat luka
di kanvas cinta anak merdeka
disentap berlari
meniti duri
memijak api.


Cinta berbunga dusta
berderetan di batas janji
membekam benci
diam menanti
memuntah api.

Bergugus Unggun
menyambar hati
membersih luka
menjernih langit merdeka
merintis jalan kemenangan
meneguk murni cinta.

Yajuk
Bukit jering
16072011

• SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Meneguk Murni Cinta disumbangkan pada Sabtu, 16 Julai 2011 10:07:33 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 16 Julai 2011 10:07:33 AM oleh yajuk 

50.Hanya Ini Sebidang Tanah

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah kau tanam benci
berkarut onak dan duri
telah terbelah hati
dalam reda yang terpaksa.


Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah luruh berguguran
daun-daun harapan
dalam selirat janji
yang kau palsukan
kami terjerat di jeriji demo kerasi.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
kenapa dizalimi
rakus kau,jangan memerah keringat kami
cerdik kau,jangan perbodohkan kami
gelojoh kau,jangan menjarah hak kami.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah tertanam benci di hati kami
kenapa terus kau zalimi
meyimbah petrol memadam api
yang dingin telah jadi berapi-api.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
kenapa kami dimusuhi dan diperangi
memilih kotor dari bersihZZZ
kembalikan Hak kami.

Yajuk
Bukit jering
09072011

• SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Hanya Ini Sebidang Tanah disumbangkan pada Ahad, 10 Julai 2011 2:30:01 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 10 Julai 2011 2:30:01 AM oleh yajuk 

49.Setia Sebatang Pokok Getah

Resah hatimu tuan
mengoyak  luka jasadku
tidak kau rasakan pedih luka ini
kerana darahku  yang putih
seputih bersih hatiku
berkorban sampai mati.


Telah berdekad setiaku
kutanam sedalam akarku
tidak kurungutkan resahku
walau pedih mencengkam tulang
tidak  kuwarwarkan rindu sepiku
walau sekadar sebaris mimpi
aku hanya abdi
tanpa ada pilihan diri.

Terus kau kutip mimpi
memerah putih darah
mencipta putih kehidupan
hingga tiada apa yang tinggal padaku
selain tulang-tulang telanjang.

Tapi aku bukan sebatang pokok getah
mimpikan hidup yang putih dan Bersih

Yajuk
Sri kembangan
24062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Setia Sebatang Pokok Getah disumbangkan pada Khamis, 30 Jun 2011 11:54:20 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 30 Jun 2011 11:54:20 PM oleh yajuk 

Saturday, May 5, 2012

48.Keretapi Malam


Keretapi Malam
laju di landasan
meninggalkan masa silam
di belakang tirai kehidupan
lenggok tarinya membisikkan
irama zikir sepanjang perjalanan.

Resah keretapi
memunggah muatan
adalah denyut harapan
memutih sendat mimpi
melintasi sempadan kenyataan.

Dan aku
sebahagian perjalanan ini
di landasan suratan.

Yajuk
Ekpres Wau(Dabong-kl)
23062011

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Keretapi Malam disumbangkan pada Isnin, 27 Jun 2011 11:05:03 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 27 Jun 2011 11:05:03 PM oleh yajuk 

47.Denyut Mimpi


Terbangun aku
dalam sepi yang memutih rasa
tenggelam dalam kalam Tuhan
membelek comok selimut hati
kemana denyut mimpi
di langit khayalan tak bertepi.

Kupeluk dingin malam
tanpa selimut mimpi
mendengarkan detik masa
tanpa henti membacakan kalam Tuhan
“sesungguhnya manusia itu dalam kerugian”.

Seperti denyut nadi
tanpa henti mengetuk pintu hati
bergetarkah hati?
dan terbangunkah jiwa ?
mendaki tangga abadi.

Dan aku terkedu di kamar penantian.

Yajuk
Bukit jering
18062011

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Denyut Mimpi disumbangkan pada Ahad, 19 Jun 2011 10:13:52 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 19 Jun 2011 10:13:52 PM oleh yajuk 

46.Basah Lidah Pasola Menteri


Basah lidah Pasola Menteri
membaca sumpah mantera
menghalau mendung awan
segera menutupi cahaya bulan
jangan ia menjadi sinar harapan
di tanah gersang pusaka bonda.

Basah lidah Pasola Menteri
membilang segala jasa
menukar biasiswa kepada pinjaman
bukankah sayangkan anak tangan-tangankan?
biarkan mereka berhutang sekeliling pinggang
menukar pengajaran matematik dan sains kepada BI
itukan bertaraf dunia bukan lagi jaguh kampong?
menukar royalti kepada wang ehsan untuk Kelantan
kerana royalti hanya untuk negeri kerabat dan taulan
dan menghapuskan segala subsidi
kerana kapal sudah hampir tenggelam
Rm2000 belum cukup untuk sara diri
menjadikan marhaen
ayam di kepuk mati kelaparan
itek di air mati kehausan.

Inilah Negara berkebajikan Pasola Menteri
menjadi pohon yang mati akar dan mati pucuk
Bulan semakin menjauh
tinggi meninggalkan tompok awan
gundah merusuh Pasola Menteri
susah menggugah terang cahaya
semakin jelas segala kepalsuan
54 tahun memerintah Negara berkebajikan
kemana hendak diletakkan pergantungan
bila tanah pusaka di serang garuda nanti.

Yajuk
Bukit jering
11062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Basah Lidah Pasola Menteri disumbangkan pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM oleh yajuk 

45.Wajah Baru Pada Bulan

Bulan berwajah baru
baru wajah bulan
bersinar di jernih awan
aku terpaku di getar harapan
jangan kau tertipu
menilik geraklakun awan
yang sentiasa mahu merembes suram
pada sinar harapan.


Retak langit cinta
bulan disergah awan
biar berlalu meniti cahaya fajar
untuk esok bersinar terang
menjulang 100 hari benuh debaran.

Yajuk
Bukit jering
07062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Wajah Baru Pada Bulan disumbangkan pada Khamis, 9 Jun 2011 11:45:46 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 9 Jun 2011 11:45:46 PM oleh yajuk 

44.Menyuling Tegak Mimpi


Malam itu
kita menyuling tegak mimpi
di langit berdebu cita
terkilas sinar harapan
menapi antah kenyataan.

Bingit nyaring suara
mendeklamasi baris-baris puisi
dan lunak merdu irama
menyanyikan aksara cinta
terketar dalam lena hangat igauan
dedalu mencengkam rendang dahan
terbelit rasa keharuan.

Kau bertopi di teduh dingin malam
menutupi retak rindu hatimu
menilik maju mundur langkah
dalam perjuangan yang tak mungkin selesai
menimbang gerak kiri dan kanan
meniti siratalmustaqim.

(Bergetar sendu hatimu di hatiku).

Tergantung senyum dan tangis
bergantung lakun dan geraktari
kita menyulam takdir.

Yajuk
Bukit jering
30052011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Menyuling Tegak Mimpi disumbangkan pada Isnin, 30 Mei 2011 6:05:51 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 30 Mei 2011 6:05:51 PM oleh yajuk 

43.Sajak Untuk DS Anwar Ibrahim

Telah kau hafal likuan jalan
rencam cenuram tanah tinggi
bila kau mulakan pendakian
di licin berlumut hati batu.


Antara percaya dengan tidak
Kota Melaka hampir roboh dibedil Peringgi
terpaksalah kau berkubu betis
dalam rencam tajam muncung todak
dan tanah pun merekah terpanah petir hasad dengki
hangit terbakar disumpah sampah
yang mahu dipercayai benar segala fitnah.

Di persimpangan harapan marhaen
dan gejolak haloba pemerintah
kau menongkah ganas ombak
mengitar lakun janji petualang
harapkan pagar,pagar makan padi
menumpang sokong,sokong membawa rebah.

Yang putih,tetap putih
walau dipakaikan hitam topeng
maknikam tetap dikenal jauhari
walau direndam hitam lumpur
biar teguh iman di dada
pasti terbelah Laut Merah
membuka jalan kemenangan
dan biarkan Firaun kelemasan
dilambong buas ombak hitam hatinya.

Biarkan gundah berlalu dalam munajat suci
hati bercahaya dalam rimbun taqwa
tidak layu dalam bahang sumpah fitnah
yang benar tetap benar
dan yang salah tetap salah
kerana sumpah hanya mengesahkan
merekalah sumpah-sumpah
yang merasa diri mampu menelan mentari
di langit jerebu janji
akulah pasola menteri yang kebal
dan tak mati kerana berbalut baju besi.

Telah berulangkali kau dibogel dan ditelanjangi
terpaksalah kau merengkok di jeriji berkunci
walau terbukti ia arang yang dicontengkan
oleh tangan-tangan besi
yang mahu melihat kau hangus terbakar
seperti Ibrahim yang mahu dibakar Namruk
kerana cuba menghancurkan berhala
yang mereka sembah dan puja.

Jangan kau terkejut
andai selepas ini kau akan ke sana lagi
menghitung hari tanpa mentari
menghitung malam tanpa bulan,tanpa bintang
tapi percayalah pada keadilan Tuhan
perjalanan pasti ada penghujungnya
kezaliman pasti akan diadili di Mahkamah Rakyat
dan yang pasti tentunya di Mahkamah Tuhan.

Yajuk
Bukit jering
17052011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Sajak Untuk DS Anwar Ibrahim disumbangkan pada Rabu, 18 Mei 2011 1:00:56 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 18 Mei 2011 11:46:55 PM oleh dr.irwan 

42.Secebis Kenangan


Di celah pepohon getah ini
aku membilang hari
membawa segumpal angan
terang langit menyongsong titi angin
tidak patah anak tangga
menyukat tinggi awan.

Kudakap cita dalam resah mimpi
berlari menyulam garis-garis pelangi
tidak putus benang impian
dalam rencam angin monsoon
dan susu getah yang enggan menitik.

Bersatu aku dalam hayat pepohon getah
subur  pepohonan di cerah mentari
mengulit damai denai hati
dan berguguran bebunga harapan
di musim gugur yang panjang.

Berlalu musim
bersatu dalam hayat insane
seperti aliran sungai yang sering tersekat
di beting lumpur dan selut
menjadi selembar suratan.

Yajuk
Bj03042011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Secebis Kenangan disumbangkan pada Isnin, 18 April 2011 5:25:26 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 18 April 2011 5:25:26 PM oleh yajuk 

Friday, May 4, 2012

41.Gelap Langit Senja Itu

Gelap langit senja itu
menggugah tegal hatinya
terpanggang amarah
dari kasih yang terbakar
dan cinta yang parah terluka.

Keruh senja ini
meramas-ramas jantung hati
dalam sesak dada bernafas
apakah langit yang kejam?
atau dia yang pura-pura tidak faham
sunnah Tuhan tidak pernah berubah laluan
dan roda tidak pernah terhenti diam
kerana siang hanya bertahan
selama mentari tidak melintas sempadan.

Resah senja
diasak gelap malam
adalah pekat hitam hati
menghimpun rencam noda
di pentas tanpa batasan.

Yajuk
Bukit jering
11032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Gelap Langit Senja Itu disumbangkan pada Sabtu, 26 Mac 2011 10:14:44 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 26 Mac 2011 10:14:44 PM oleh yajuk 

Tuesday, May 1, 2012

40.OPERATION ODYSSEY DAWN

Atas nama kemanusiaan
buaya harimau dan jentayu
berkongsi selera melapah seladang
dosanya menanduk menendang anak sendiri
yang gatal tanduknya mulai mendesah.


Berbelit lidah mencumbu angkuh
berkubu betis di pasir jerlus
cuma tempik mengepam awan
langkah mati terbelit jerat kekufuran.

Atas nama hak
Israil dibiar menyembelih rakyat Palestin
atas nama kemanusiaan
Libya dihujani peluru pembebasan
dan kita berhempas pulas mencari diri.

Yajuk
Bukit jering
21032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > ODYSSEY OPERATION DAWN disumbangkan pada Selasa, 22 Mac 2011 9:41:47 AM • Kali terakhir diubah pada Selasa, 22 Mac 2011 9:41:47 AM oleh yajuk 

39.Tsunami Datang Lagi

Bergulung ombak
meredah resah fikrah
terdampar harap di alur mimpi
musnah disentap gempa
hanyut ditelan tsunami.


Terkapar cinta
disergah ganas ombak
hanyut bersama ilusi
rentung terpanggang
api menjilat hati.

Berserakan cinta di batas kemusnahan
mendakap gelap langit Fukushima
berselimut kabus radiasi
bergumpal hitam harapan
mungkinkah ada penyerahan?
kemenangan cuma milik Tuhan.

Berkurun harapan
bergumpal angan menempelak langit
angkuh meroboh awan
kalut membina istana pasir
lalu bersih disambar tsunami
mungkinkah ada keinsafan?
kemegahan cuma milik Tuhan
jangan berbaki angkuh sombong.

Seperti Hiroshima
terpahat sejarah Fukushima
pasti tsunami datang lagi
menanggapi detak mimpi.

Yajuk
Bukit jering
20032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Tsunami Datang Lagi disumbangkan pada Ahad, 20 Mac 2011 11:10:42 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 20 Mac 2011 11:10:42 AM oleh yajuk

38.Resah Malam Itu

Resah malam itu
adalah retak hati
kehilangan wajah bulan
rindunya terdiam
disergah cerah lampu jalanan.


Sepi malam itu
tanpa dengkur kekasih
adalah kecewa pungguk di dahan
rindunya menggigit lidah
tak terucap menatap riak mimpi
resah dalam retak bucu pelangi
berkeriau dalam hingar deru kenderaan
berpapasan di jalan tak tentu haluan.

Telah larut malam itu
dalam jernih nafas cinta
dan kemilau bintang-bintang di langit
menjadi biji-biji tasbih
dalam penitian abadi cinta.

Yajuk
Bas mutiara jeli/kl
06932011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Resah Malam Itu disumbangkan pada Sabtu, 12 Mac 2011 8:03:54 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 12 Mac 2011 8:03:54 AM oleh yajuk