Monday, May 7, 2012

52.Masih Tergenggam Batu Di Tangan


Masih tergenggam batu di tangan
setelah kau lontarkan kebencian
bersuluh mentari
kembali kau bersembunyi
di balik lidi.

Telah terakam percikan
tompok-tompok darah
di kanvas sejarah
terlontar dari tangan-tangan hitam
yang kau silangkan
mencucuk mata kami.

Masih tergenggam batu di tangan
kau menghentak-hentak kaki
mencungkil mata kami
masih mahu kau bersembunyi
di balik lidi.

Yajuk
Bukit jering
25072011

 • SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Masih Tergenggam Batu Di Tangan disumbangkan pada Isnin, 25 Julai 2011 11:36:41 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 25 Julai 2011 11:36:41 AM oleh yajuk 

51.Meneguk Murni Cinta

Terpahat luka
di kanvas cinta anak merdeka
disentap berlari
meniti duri
memijak api.


Cinta berbunga dusta
berderetan di batas janji
membekam benci
diam menanti
memuntah api.

Bergugus Unggun
menyambar hati
membersih luka
menjernih langit merdeka
merintis jalan kemenangan
meneguk murni cinta.

Yajuk
Bukit jering
16072011

• SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Meneguk Murni Cinta disumbangkan pada Sabtu, 16 Julai 2011 10:07:33 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 16 Julai 2011 10:07:33 AM oleh yajuk 

50.Hanya Ini Sebidang Tanah

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah kau tanam benci
berkarut onak dan duri
telah terbelah hati
dalam reda yang terpaksa.


Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah luruh berguguran
daun-daun harapan
dalam selirat janji
yang kau palsukan
kami terjerat di jeriji demo kerasi.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
kenapa dizalimi
rakus kau,jangan memerah keringat kami
cerdik kau,jangan perbodohkan kami
gelojoh kau,jangan menjarah hak kami.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
telah tertanam benci di hati kami
kenapa terus kau zalimi
meyimbah petrol memadam api
yang dingin telah jadi berapi-api.

Hanya ini sebidang tanah
milik kami
kenapa kami dimusuhi dan diperangi
memilih kotor dari bersihZZZ
kembalikan Hak kami.

Yajuk
Bukit jering
09072011

• SAJAK > 2011 (Julai-Disember) > Hanya Ini Sebidang Tanah disumbangkan pada Ahad, 10 Julai 2011 2:30:01 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 10 Julai 2011 2:30:01 AM oleh yajuk 

49.Setia Sebatang Pokok Getah

Resah hatimu tuan
mengoyak  luka jasadku
tidak kau rasakan pedih luka ini
kerana darahku  yang putih
seputih bersih hatiku
berkorban sampai mati.


Telah berdekad setiaku
kutanam sedalam akarku
tidak kurungutkan resahku
walau pedih mencengkam tulang
tidak  kuwarwarkan rindu sepiku
walau sekadar sebaris mimpi
aku hanya abdi
tanpa ada pilihan diri.

Terus kau kutip mimpi
memerah putih darah
mencipta putih kehidupan
hingga tiada apa yang tinggal padaku
selain tulang-tulang telanjang.

Tapi aku bukan sebatang pokok getah
mimpikan hidup yang putih dan Bersih

Yajuk
Sri kembangan
24062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Setia Sebatang Pokok Getah disumbangkan pada Khamis, 30 Jun 2011 11:54:20 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 30 Jun 2011 11:54:20 PM oleh yajuk 

Saturday, May 5, 2012

48.Keretapi Malam


Keretapi Malam
laju di landasan
meninggalkan masa silam
di belakang tirai kehidupan
lenggok tarinya membisikkan
irama zikir sepanjang perjalanan.

Resah keretapi
memunggah muatan
adalah denyut harapan
memutih sendat mimpi
melintasi sempadan kenyataan.

Dan aku
sebahagian perjalanan ini
di landasan suratan.

Yajuk
Ekpres Wau(Dabong-kl)
23062011

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Keretapi Malam disumbangkan pada Isnin, 27 Jun 2011 11:05:03 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 27 Jun 2011 11:05:03 PM oleh yajuk 

47.Denyut Mimpi


Terbangun aku
dalam sepi yang memutih rasa
tenggelam dalam kalam Tuhan
membelek comok selimut hati
kemana denyut mimpi
di langit khayalan tak bertepi.

Kupeluk dingin malam
tanpa selimut mimpi
mendengarkan detik masa
tanpa henti membacakan kalam Tuhan
“sesungguhnya manusia itu dalam kerugian”.

Seperti denyut nadi
tanpa henti mengetuk pintu hati
bergetarkah hati?
dan terbangunkah jiwa ?
mendaki tangga abadi.

Dan aku terkedu di kamar penantian.

Yajuk
Bukit jering
18062011

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Denyut Mimpi disumbangkan pada Ahad, 19 Jun 2011 10:13:52 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 19 Jun 2011 10:13:52 PM oleh yajuk 

46.Basah Lidah Pasola Menteri


Basah lidah Pasola Menteri
membaca sumpah mantera
menghalau mendung awan
segera menutupi cahaya bulan
jangan ia menjadi sinar harapan
di tanah gersang pusaka bonda.

Basah lidah Pasola Menteri
membilang segala jasa
menukar biasiswa kepada pinjaman
bukankah sayangkan anak tangan-tangankan?
biarkan mereka berhutang sekeliling pinggang
menukar pengajaran matematik dan sains kepada BI
itukan bertaraf dunia bukan lagi jaguh kampong?
menukar royalti kepada wang ehsan untuk Kelantan
kerana royalti hanya untuk negeri kerabat dan taulan
dan menghapuskan segala subsidi
kerana kapal sudah hampir tenggelam
Rm2000 belum cukup untuk sara diri
menjadikan marhaen
ayam di kepuk mati kelaparan
itek di air mati kehausan.

Inilah Negara berkebajikan Pasola Menteri
menjadi pohon yang mati akar dan mati pucuk
Bulan semakin menjauh
tinggi meninggalkan tompok awan
gundah merusuh Pasola Menteri
susah menggugah terang cahaya
semakin jelas segala kepalsuan
54 tahun memerintah Negara berkebajikan
kemana hendak diletakkan pergantungan
bila tanah pusaka di serang garuda nanti.

Yajuk
Bukit jering
11062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Basah Lidah Pasola Menteri disumbangkan pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM oleh yajuk 

45.Wajah Baru Pada Bulan

Bulan berwajah baru
baru wajah bulan
bersinar di jernih awan
aku terpaku di getar harapan
jangan kau tertipu
menilik geraklakun awan
yang sentiasa mahu merembes suram
pada sinar harapan.


Retak langit cinta
bulan disergah awan
biar berlalu meniti cahaya fajar
untuk esok bersinar terang
menjulang 100 hari benuh debaran.

Yajuk
Bukit jering
07062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Wajah Baru Pada Bulan disumbangkan pada Khamis, 9 Jun 2011 11:45:46 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 9 Jun 2011 11:45:46 PM oleh yajuk 

44.Menyuling Tegak Mimpi


Malam itu
kita menyuling tegak mimpi
di langit berdebu cita
terkilas sinar harapan
menapi antah kenyataan.

Bingit nyaring suara
mendeklamasi baris-baris puisi
dan lunak merdu irama
menyanyikan aksara cinta
terketar dalam lena hangat igauan
dedalu mencengkam rendang dahan
terbelit rasa keharuan.

Kau bertopi di teduh dingin malam
menutupi retak rindu hatimu
menilik maju mundur langkah
dalam perjuangan yang tak mungkin selesai
menimbang gerak kiri dan kanan
meniti siratalmustaqim.

(Bergetar sendu hatimu di hatiku).

Tergantung senyum dan tangis
bergantung lakun dan geraktari
kita menyulam takdir.

Yajuk
Bukit jering
30052011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Menyuling Tegak Mimpi disumbangkan pada Isnin, 30 Mei 2011 6:05:51 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 30 Mei 2011 6:05:51 PM oleh yajuk 

43.Sajak Untuk DS Anwar Ibrahim

Telah kau hafal likuan jalan
rencam cenuram tanah tinggi
bila kau mulakan pendakian
di licin berlumut hati batu.


Antara percaya dengan tidak
Kota Melaka hampir roboh dibedil Peringgi
terpaksalah kau berkubu betis
dalam rencam tajam muncung todak
dan tanah pun merekah terpanah petir hasad dengki
hangit terbakar disumpah sampah
yang mahu dipercayai benar segala fitnah.

Di persimpangan harapan marhaen
dan gejolak haloba pemerintah
kau menongkah ganas ombak
mengitar lakun janji petualang
harapkan pagar,pagar makan padi
menumpang sokong,sokong membawa rebah.

Yang putih,tetap putih
walau dipakaikan hitam topeng
maknikam tetap dikenal jauhari
walau direndam hitam lumpur
biar teguh iman di dada
pasti terbelah Laut Merah
membuka jalan kemenangan
dan biarkan Firaun kelemasan
dilambong buas ombak hitam hatinya.

Biarkan gundah berlalu dalam munajat suci
hati bercahaya dalam rimbun taqwa
tidak layu dalam bahang sumpah fitnah
yang benar tetap benar
dan yang salah tetap salah
kerana sumpah hanya mengesahkan
merekalah sumpah-sumpah
yang merasa diri mampu menelan mentari
di langit jerebu janji
akulah pasola menteri yang kebal
dan tak mati kerana berbalut baju besi.

Telah berulangkali kau dibogel dan ditelanjangi
terpaksalah kau merengkok di jeriji berkunci
walau terbukti ia arang yang dicontengkan
oleh tangan-tangan besi
yang mahu melihat kau hangus terbakar
seperti Ibrahim yang mahu dibakar Namruk
kerana cuba menghancurkan berhala
yang mereka sembah dan puja.

Jangan kau terkejut
andai selepas ini kau akan ke sana lagi
menghitung hari tanpa mentari
menghitung malam tanpa bulan,tanpa bintang
tapi percayalah pada keadilan Tuhan
perjalanan pasti ada penghujungnya
kezaliman pasti akan diadili di Mahkamah Rakyat
dan yang pasti tentunya di Mahkamah Tuhan.

Yajuk
Bukit jering
17052011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Sajak Untuk DS Anwar Ibrahim disumbangkan pada Rabu, 18 Mei 2011 1:00:56 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 18 Mei 2011 11:46:55 PM oleh dr.irwan 

42.Secebis Kenangan


Di celah pepohon getah ini
aku membilang hari
membawa segumpal angan
terang langit menyongsong titi angin
tidak patah anak tangga
menyukat tinggi awan.

Kudakap cita dalam resah mimpi
berlari menyulam garis-garis pelangi
tidak putus benang impian
dalam rencam angin monsoon
dan susu getah yang enggan menitik.

Bersatu aku dalam hayat pepohon getah
subur  pepohonan di cerah mentari
mengulit damai denai hati
dan berguguran bebunga harapan
di musim gugur yang panjang.

Berlalu musim
bersatu dalam hayat insane
seperti aliran sungai yang sering tersekat
di beting lumpur dan selut
menjadi selembar suratan.

Yajuk
Bj03042011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Secebis Kenangan disumbangkan pada Isnin, 18 April 2011 5:25:26 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 18 April 2011 5:25:26 PM oleh yajuk 

Friday, May 4, 2012

41.Gelap Langit Senja Itu

Gelap langit senja itu
menggugah tegal hatinya
terpanggang amarah
dari kasih yang terbakar
dan cinta yang parah terluka.

Keruh senja ini
meramas-ramas jantung hati
dalam sesak dada bernafas
apakah langit yang kejam?
atau dia yang pura-pura tidak faham
sunnah Tuhan tidak pernah berubah laluan
dan roda tidak pernah terhenti diam
kerana siang hanya bertahan
selama mentari tidak melintas sempadan.

Resah senja
diasak gelap malam
adalah pekat hitam hati
menghimpun rencam noda
di pentas tanpa batasan.

Yajuk
Bukit jering
11032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Gelap Langit Senja Itu disumbangkan pada Sabtu, 26 Mac 2011 10:14:44 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 26 Mac 2011 10:14:44 PM oleh yajuk 

Tuesday, May 1, 2012

40.OPERATION ODYSSEY DAWN

Atas nama kemanusiaan
buaya harimau dan jentayu
berkongsi selera melapah seladang
dosanya menanduk menendang anak sendiri
yang gatal tanduknya mulai mendesah.


Berbelit lidah mencumbu angkuh
berkubu betis di pasir jerlus
cuma tempik mengepam awan
langkah mati terbelit jerat kekufuran.

Atas nama hak
Israil dibiar menyembelih rakyat Palestin
atas nama kemanusiaan
Libya dihujani peluru pembebasan
dan kita berhempas pulas mencari diri.

Yajuk
Bukit jering
21032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > ODYSSEY OPERATION DAWN disumbangkan pada Selasa, 22 Mac 2011 9:41:47 AM • Kali terakhir diubah pada Selasa, 22 Mac 2011 9:41:47 AM oleh yajuk 

39.Tsunami Datang Lagi

Bergulung ombak
meredah resah fikrah
terdampar harap di alur mimpi
musnah disentap gempa
hanyut ditelan tsunami.


Terkapar cinta
disergah ganas ombak
hanyut bersama ilusi
rentung terpanggang
api menjilat hati.

Berserakan cinta di batas kemusnahan
mendakap gelap langit Fukushima
berselimut kabus radiasi
bergumpal hitam harapan
mungkinkah ada penyerahan?
kemenangan cuma milik Tuhan.

Berkurun harapan
bergumpal angan menempelak langit
angkuh meroboh awan
kalut membina istana pasir
lalu bersih disambar tsunami
mungkinkah ada keinsafan?
kemegahan cuma milik Tuhan
jangan berbaki angkuh sombong.

Seperti Hiroshima
terpahat sejarah Fukushima
pasti tsunami datang lagi
menanggapi detak mimpi.

Yajuk
Bukit jering
20032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Tsunami Datang Lagi disumbangkan pada Ahad, 20 Mac 2011 11:10:42 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 20 Mac 2011 11:10:42 AM oleh yajuk

38.Resah Malam Itu

Resah malam itu
adalah retak hati
kehilangan wajah bulan
rindunya terdiam
disergah cerah lampu jalanan.


Sepi malam itu
tanpa dengkur kekasih
adalah kecewa pungguk di dahan
rindunya menggigit lidah
tak terucap menatap riak mimpi
resah dalam retak bucu pelangi
berkeriau dalam hingar deru kenderaan
berpapasan di jalan tak tentu haluan.

Telah larut malam itu
dalam jernih nafas cinta
dan kemilau bintang-bintang di langit
menjadi biji-biji tasbih
dalam penitian abadi cinta.

Yajuk
Bas mutiara jeli/kl
06932011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Resah Malam Itu disumbangkan pada Sabtu, 12 Mac 2011 8:03:54 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 12 Mac 2011 8:03:54 AM oleh yajuk 

Monday, April 30, 2012

37.Di Hujung Lidahnya


Di hujung lidahnya
dia mahu syahid.

Dia menghalalkan darah               
yang bakal tumpah
atas nama Allah

Yajuk
Taman Melawati
05032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Di Hujung Lidahnya disumbangkan pada Sabtu, 5 Mac 2011 3:54:17 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 5 Mac 2011 3:54:17 PM oleh yajuk 

36.Retak Air

Lembut dingin air
putih di luas tasik rindu
jernih cinta menyulam mimpi
tak putus air dicincang.


Retak air
cerminan hati
resah dihimpit tebing
pecah melontar amarah
terhadang keras tajam
batu-batu jeram.

Yajuk
Taman Melawati
02032011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Retak Air disumbangkan pada Khamis, 3 Mac 2011 11:16:05 AM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 3 Mac 2011 11:16:05 AM oleh yajuk 

35.Hatinya Batu

Hatinya batu
lupa menghitung dosa
memahat arca benci
di hujung kalam senjanya
membelah retak cinta
angkuh yang meratah rindu
maruah musnah di rencam kuasa.


Telah tercakar egonya
dahaga darah
menyemah laman kuasa
membina piramid nafsunya
dan Allah menjadi sumpahan
di kandang zulmat hatinya.

Hatinya batu
kuburan cinta
darah tumpah
lenyai di suci sejadah
menyemah rumah Allah
ukhuwwah hilang wajah
syahadah tidak lagi menyatukan ummah.

Kau yang berhati batu
bukalah mata
lihat riwayat cinta
adalah kelangsungan hayat ini
dan dendam itu
menguburkan keagongan dan maruah
seperti terkuburnya Firaun di dasar Laut Merah.

Yajuk
Bukit jering
27022011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Hatinya Batu disumbangkan pada Isnin, 28 Februari 2011 7:34:29 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 28 Februari 2011 7:34:29 PM oleh yajuk

34.KuIntai Mentari Di Celah Daun


Merimbun daun
tumbuh meliar pohon-pohon
mengutip cahaya
dari pagi sampai senja
tidakkah sia-sia ?
tanpa menghasilkan buah.

Kuintai mentari di celah daun
tajam memanah retak hati
atma cintanya pecah
ada kesal ada amarah
juga keangkuhan rasa
dia yang memiliki cahaya
memang berhak mengutus kesal.

Melangkah mentari
pada galaksi hokum
siang yang tak pernah renggang
tak tahu menceroboh sempadan malam
tak mahu bulan berkecil hati
walau bulan sekadar menumpang.

Aku mengerti sifat mentari
menyalur kasih pada semua
tak memilih warna
sesekali komulus menghalang
retak luka hatinya
menirislah pilu resah hatinya
menjadi gerimis dingin mendamaikan
Ah!,bersatu mentari dengan hujan
memakmurkan.

Kuintai mentari di celah daun
kunampak di tinggi pucuk
kenapa pohon hidup sia-sia?
tumbuh meliar
sepanjang hayat tanpa ibadat.

Maha Kaya Tuhan
tidak kerugian apa-apa.

Yajuk
Bukit jering
14022012

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > KuIntai Mentari Di Celah Daun disumbangkan pada Sabtu, 19 Februari 2011 9:04:34 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 19 Februari 2011 9:04:34 PM oleh yajuk 

Sunday, April 29, 2012

33.Tahniah Cinta


Tahniah cinta
telah kau robek kebebalan
telah kau runtuhkan keangkuhan
dalam sorak sorai kemenangan
kau subur di laman
mengibar panji-panji kebenaran.

Tahniah cinta
Dataran Tahrir bernafas lega
Laut Merah terbelah jua
membuka laluan cinta
Abdul Aziz berlapang dada
menyatukan Zulaikha dengan Yusoff
di dakapan Asiah Musa menakluk Tursina
tempatnya terjamin di syurga
dan Palestin bercahaya,menerima Musa Rasul mereka.

Tahniah Mubarak
malu pada nama
bergulir memintal muslihat
yang rebah kebodohan
yang parah kebatilan
yang berkecai serakah nafsu
yang tegak kebijaksanaan
yang terbina titian rahmat
yang tersulam rindu dendam bumi kepada langit
lalu berkembang kepak cinta
memayungi subur harapan.

Tahniah cinta
telah mati rencam benci
Laut Merah tak perlu bersemah darah
telah patah runcing sembilu
buluh tak perlu berkecai buku.

Yajuk
Bukit jering
14022011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Tahniah Cinta(slide show) disumbangkan pada Selasa, 15 Februari 2011 11:16:49 PM • Kali terakhir diubah pada Selasa, 15 Februari 2011 11:16:49 PM oleh yajuk 

Wednesday, April 25, 2012

32.Merakam Senja


Merakam Senja

Tidak gusar mentari
dalam enggan
melintas garisan malam
kerna dia tahu
siang tidak pernah berhenti
mengekori.

Dan malam
adalah bayang-bayang gelap
yang tidak pernah mengerti
kewujudan mentari.

Kitalah di pentas hayat
merakam sempadan
antara dua kehidupan
jasmani dan rohani
seperti siang dan malam
bersatu tak bersentuh
berpisah tak berantara.

Merah berkelodak wajah mentari
melontar ingatan
senja adalah permulaan malam
waktu menghitung amalan
syurga atau neraka
adalah anugrah pilihan Tuhan.

Yajuk
Bukit jering
25012011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Merakam Senja disumbangkan pada Ahad, 13 Februari 2011 7:18:06 AM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 13 Februari 2011 7:18:06 AM oleh yajuk 

31.Yang Terperangkap Di Dataran Tahrir


Bangunlah cinta
ada amanah berserakan
ditindih serakah kuasa
yang rebah adalah kesabaran
yang tumbang adalah keadilan
yang terkepung adalah kebenaran
yang terperangkap adalah kau
bangunlah cinta
bakar kerak kebencian
yang berkarat biar lebur menjadi besi
moga kembali menjadi kapak parang dan gergaji.

Mundar mandir cinta
malu melafaz rindu
pada bulan tanpa cahaya
enggan menggantung harap
pada siang tanpa mentari
lalu yang terbakar adalah kasih Zulaikha
yang terpanggang adalah iman Asiah
yang terbelah adalah hati Siti Hawa
darah Habil tumpah dirobek nafsu Qabil
bersorak sorailah iblis
terpesong anak Adam dari pintu Syurga.

Terhuyung hayang cinta
menghimpun sumpah
menjadi sejuta kebencian campur dendam
menjelmalah sejuta kebangkitan
dari kelodak rasa kecewa
awas cinta
yang runcing adalah sembilu
jangan buluh berkecai buku.

Apakah akan terbelah Laut Merah?
bersimbah darah
membuka laluan cinta
dan terkubur Firaun
di dasar hitam hatinya.

Yajuk
Bukit jering
01022011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Yang Terperangkap Di Dataran Tahrir disumbangkan pada Isnin, 7 Februari 2011 8:19:49 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 7 Februari 2011 10:19:36 PM oleh dr.irwan 

30.Banjir Di Tenang


Banjir di Tenang
biar merubah tebing
benteng bebal memagar fikrah
Mampukah berubah?
Berdesirkah angin Tunis?
Merubah batu hitam di hati
menjunjung perintah mengkelek azam.


Banjir di Tenang
kuatkah arus?
Menghanyut sampah di tebing budaya
taat membabi buta
sodok merata
Dan kita beranikah menjadi Jebat?
Mengirim sejambak bunga tahi ayam
tidak lebur dalam jerat demo kerasi.

Banjir di Tenang
biar tidak merubah apa-apa
Bulan tetap bercahaya
walau mereka memalingkan muka
kerana hati yang mati
tidak mudah menerima cahaya.

Yajuk
Bukit jering
29012011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Banjir Di Tenang(slideshow) disumbangkan pada Sabtu, 29 Januari 2011 12:59:35 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 29 Januari 2011 12:59:35 PM oleh yajuk 

Tuesday, April 24, 2012

29.Yang Kubaca Adalah Catatan Sejarah Hitam Bangsa

Yang kubaca adalah catatan
sejarah hitam bangsa
yang merempat dan yang segap
celaka bangsa kerana biadap tak bertempat.


Hinakah Jebat di bunuh Tuah
muliakah Tuah membunuh sahabat
sejarah ternilai sendiri di hati
keadilan terukur mengikut zaman
sejarah hidup sepanjang peradaban.

Bodohkah aku?
bila Pak Pandir menjaja bebal
jahatkah aku?
bila Tanggang membunuh merebut kuasa
rugikah aku?
kerana Pak Kadok kampong tergadai.

Suka atau benci
yang tercatat adalah sejarah
tak mungkin berubah
walau kau alirkan darah
dari benua keling kau merantau
adalah engkau hari ini
tidak kami cuba menghalau
telah tergaul kami dalam sejarah
tidak mungkin putih kembali.

Tidak terlintas di hati,kamu itu begitu
kamulah yang membenarkan
kamulah yang menghebahkan
kamulah yang mengingatkan,asal kamu
bila kau bakar Interlok itu.

Yajuk
Bukit jering
16012011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Yang Kubaca Adalah Catatan Sejarah Hitam Bangsa disumbangkan pada Ahad, 16 Januari 2011 7:58:28 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 16 Januari 2011 7:58:28 PM oleh yajuk 

28.Sebatang Lilin

Sebatang lilin
menyuluh gelap malam
menyumbang cahya
membakar diri
setia rindu cinta
rasa bahagia.


Sebatang lilin
merakam cinta suci
sampai mati
seperti  mawar
rela mengharum kamar
sampai gugur.

Sebatang lilin
terbakar sia-sia
pada si buta.

Yajuk
Bukit jering
12012010

 • SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Sebatang Lilin(slideshow) disumbangkan pada Rabu, 12 Januari 2011 9:01:12 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 12 Januari 2011 9:01:12 AM oleh yajuk 

27.Denai Yang KuLalui

Denai yang kulalui
penuh duri
melukai hati
liku-liku tajamnya
mencengkam jantung akal
aku berlari
dalam rasa separuh mati.


Rebah bangunku mengejar maghfirah
asyik dalam nyanyian malam
hiba diulit zikir pungguk
walang mencari wujud di balik baying
maksyuk mencari cahaya di balik cahaya.

Lenyai airmata
ombak dada merusuh
ruyup hati menekuni rencam cenuram
terdongak kelelahan di batas kegelapan
membelah hijab demi hijab
yang menutupi pintu Baitullah
menyusuri mutmainnah.

Menghisab aku sepanjang perjalanan
sambil melihat putaran asap
bergulung-gulung menipis di udara
akhirnya bersatu dengan alam
tanpa batasan
ada kesementaraan di batas nyata
keabadian wujud adalah batiniah
wujudku menumpang keabadian wujud-Nya.

Melangkah aku dalam resah gundah langit
tanpa cahaya
walau petir berdentum memanah
teratak cinta masih utuh masih teguh
tidak runtuh
cahaya iman,tekun menyubur taqwa.

Terima kasih Tuhan
menyubur tabah di didada adinda
menyongsong angin
perit perih memijak tajam kerikil
masih bersama menumpu
tidak rebah mengaku kalah
walau hati berdarah pecah dan terbelah.

Denai yang kulalui
melangkahi adat
tidak mahu terkurung di batas duniawi
bergaul zulmat dan khurafat
egois menjunjung keturunan
aku berlari mengetuk pintu makrifat
meniti titian hakikat
berbekal kalam Tuhan.

Yajuk
Bukit jering
02012011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Denai Yang KuLalui(klip video) disumbangkan pada Rabu, 5 Januari 2011 10:58:47 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 5 Januari 2011 10:58:47 AM oleh yajuk 

26.Derap Langkah 2011


Kaki kanan mati langkah
mimpi memandu arah
patah melulu rebah
kaki kiri enggan melangkah
terlipat dirembat
karat 2010 masih merekah.

Sayap awan merembat mentari
cahaya hanya menyuluh langit
marhaen kehilangan arah
kaki melangkah terbalik arah.

Mentari meruap di langit tinggi
menyusun alur kembara
tidak basah dirusuh December
tersedak  marhaen di kelodak muara
diperkosa berahi mentari.

Derap langkah 2011
mimpi mentari menghias angkasa
marhaen tersesat di padang perburuan
terpanggil memanah redup mentari
peralihan musim biar menjadi
esok mentari biar berganti.

Yajuk
Bukit jering
04012011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Derap Langkah 2011 disumbangkan pada Sabtu, 8 Januari 2011 4:53:01 PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 8 Januari 2011 4:53:01 PM oleh yajuk 

Monday, April 23, 2012

25.Teratak Nur Kasih


25.Teratak Nur Kasih


Teratak Nur Kasih
menyatukan rindu
aku bertamu
di sendu kasih seorang ibu
diam melapazkan rindu
di renyai airmata
aku terkedu didakap kasihmu.




Basah matamu ibu
merenjis mawar
pada rindumu,rinduku
mengucap bicara tanpa kata
dan aku lemas
berenang di kolam kasihmu.


Maafkan aku ibu
aku sibuk di sendat mimpi
meratakan liku-liku tajam
tanpa noktahnya
jadilah aku lupa
atau pura-pura lupa
hingga yang terluka adalah kita.



Teratak Nur Kasih seakan mengerti
dan bersimpati
dalam diam kita saling menyapa
di manis kenangan
lalu mengingatkan kita erti bersaudara
untuk tidak lagi,saling melupakan.



Yajuk
Bukit jering
24122010

24.Sebuah Pentas Selorong Jalan Mati



Sebuah pentas hayat
adalah titis-titis keringat
mengukir arca diri
dari ranting-ranting harapan
menganyam indah mimpi
di hamparan pelangi kehidupan.

Selaut impian
menapak di selimut mimpi
adalah usia yang cepat berlalu
menanti khilaf pemikiran
menanti goyah keyakinan
mengubur mati diri yang hakiki.

Selorong jalan mati
menongkah arus nafsu
mencacak tiang keyakinan
iltizam pencerahan
gelap belantara seketul hati.

Aku di pentas hayat
berlarian meniti waktu
berkubang di selut lumpur
memaknai sebuah perjuangan
merentasi gelap langit
menerawang tinggi bintang-bintang
pasrah menapak kerikil tajam
mendakap kemas pohon iman
memintal kukuh tali keyakinan
meneguk dingin air keinsafan
mencari diri dalam diri
menyelongkar rahsia dalam rahsia
tidak ku temui diriku
di mana-mana hanya Dia.

Telah ku ukir bayang-bayang gelap
menjadi hiasan di pentas hayat
telah ku dayung kolek nasib
menyusur arus takdir
redha dan syukur
pada pasang dan surut laut rahmat-Nya.

Yajuk
Bj02092010
SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Sebuah Pentas Selorong Jalan Mati(klip video) disumbangkan pada Ahad, 7 November 2010 5:24:53 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 7 November 2010 5:24:53 PM oleh yajuk

Sunday, April 22, 2012

23.Dari Jendela Yang Terbuka

Dari jendela yang terbuka
mengintai aku ke dalam rumah
menghulur salam ketaqwaan
dari putih hati keimanan.

Dari jendela yang terbuka
aku melihat ke dalam diri
menyelami rahsia diri
untuk memahami rahsia Ilahi
di suci jernih fitrah insani.

Dari jendela yang terbuka
aku melihat jeriji besi
yang mengurung diri di batas duniawi
untuk aku mengerti rahsia dalam rahsia
yang menyimpul kalam Ilahi
“Sesungguhnya manusia itu rahsia-Ku
dan Aku rahsianya
h
ati orang-orang mukmin ituBaitullah”.

Dari jendela yang terbuka
aku telah pasti
Kau ada di sini
Kau ada di mana-mana
bergumpal aku dalam rindu
mencari wujud di balik cahaya
mencari aku di balik bayang-bayang.

Yajuk
Puncak Jalil
12122010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Dari Jendela Yang Terbuka disumbangkan pada Ahad, 19 Disember 2010 8:04:34 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 19 Disember 2010 8:04:34 PM oleh yajuk 

Friday, April 20, 2012

22.Sebuah Wakaf Di Simpang Tiga


Sebuah wakaf di simpang tiga
adalah gelanggang pertarungan bermain dam haji
telah berlurah jalan dilalui
sudah berkali-kali naik haji
tak tahu di mana kaabahnya
entah bila wukufnya
memintas merancang mengurung lawan
bersenandung mimpi di garisan tanpa pilihan
mengaku kalah untuk kembali menyusun langkah.

Pertarungan tanpa henti menggamit senja
yang menang membusung dada akulah jaguhnya
yang kalah membusung dada mengunci benci
esok akan terus bertempur lagi
masing-masing menjilat bibir memanjat tangga
ternyata perut kosong akan terus menggeroncong
bila periuk belanga juga ternganga tanpa isinya.

ii.

Di wakaf simpang tiga itu
Ah Chong berehat mengumpul tenaga
keletihan menebang balak melombong emas
telah penuh kapal dan kontena
mahu segera pulang membina pencakar langit di kotaraya
masin peluhnya menitik membasahi laman
disedut lahap tuan tanah simpang tiga.

iii.

Sebuah wakaf di simpang tiga
telah runtuh bumbungnya tertimpa mat jenin
terjatuh dari pohon kelapa
rupanya bermimpi kahwin dengan puteri raja
dan penghuni wakaf simpang tiga terus bertarung
menyongsong dada berkali-kali naik haji
menjaja alpa
dan tranformasi berkerapah di kepala tok ketua.

Yajuk
Bj24102010


SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Sebuah Wakaf Di Simpang Tiga(slidesahow) disumbangkan pada Isnin, 1 November 2010 4:37:22 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 1 November 2010 4:37:22 PM oleh yajuk

21.Menyulam Rindu Di Wakaf Waktu



Bila cinta bernafas dalam senyap
kusulam rindu di wakaf waktu
hati pun berlari menyukat awan
membilang titik-titik hujan
rindu beterbangan  di nafas penyucian.

Ralat kasihkudisergah harum bunga
terjerat rindu di kelodak noda
terkulai cinta di rahang serigala
aku ketagih senyuman di jernih makrifat.

Tumpah air matakutersedak rindu
membaca ralat hatiku
membajak nista dan dosa
mengiringi ghairah rinduku
menyulam ayat-ayat kasih-Mu Rabbi.

Berdirilah aku di sini
menyulam rindu di wakaf waktu
bersatu dengan deru angin
bersebati dengan alun ombak
bersahut-sahutan dengan kicau burung
menitipkan jernih suci rinduku.

Engkaulah denyut nafasku
Engkaulah noktah hayatkua
ku pasrah dilakar takdir.

Yajuk
Bj17102010


• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Menyulam Rindu Di Wakaf Waktu(slideshow) disumbangkan pada Rabu, 27 Oktober 2010 7:42:34 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 27 Oktober 2010 7:42:34 AM oleh yajuk 

20.KuKutip Duku Di Celah Daun

Kukutip duku di celah daun
yang kukutip manis masamnya
kerana cetek pemerhatianku
tergaullah buruk dan busuknya.

Kupanjat jua pohon duku
mengutip buah di celah daun
ingin ku kirim manisnya
menggaul kukuh persahabatan
dalam cerah sinar hati
menyuluh gundah ombak harapan
jangan ditelan buruk busuk yang menumpang.

Kukutip buah duku
dari pohon rindu yang kubajai
menitiskan keringat dan air mata kasih
merombak zulmat hati
tidak membiak lalang lara
memenuhi ladang fikrah insani.

Ingin kutelan manisnya buah
dari pohon-pohon ibadat
di sepanjang perjalanan
ingin kutitipkan manisnya
menjadi bekalan kepulanganku.

Yajuk
bukit jering
20 0kt 2010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Ku Kutip Duku Di celah Daun(Slide Show) disumbangkan pada Khamis, 21 Oktober 2010 10:51:31 PM • Kali terakhir diubah pada Jumaat, 22 Oktober 2010 8:12:06 AM oleh dr.irwan 

Thursday, April 19, 2012

19.KuLi Galas

Kau galas gelas retak
Untuk kembali menapak puncak
Lihatlah cermin,cerah gelap harapan
Intai-intailah ,ombak menolak ke tepian.

Gaul-gaullah semen dan pasir
Asingkan doa marhain dan gelojoh desperado
Lantang suaramu menuntut royalti
Atau kembali membajak khayal
Silap kitar,lemas menungkat langit runtuh.

Yajuk
Bj11102010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Kuli Galas
disumbangkan pada Selasa, 12 Oktober 2010 9:37:32 PM • Kali terakhir diubah
pada Selasa, 12 Oktober 2010 9:37:32 PM oleh yajuk

18.Dia Yang Mengejar Pelangi

Dia yang mengejar pelangi
menggadai maruah diri
tiba-tiba hilang keyakinan
musnah di olak ombak
mencari guri emas di umbi pelangi
walau dia tahu
pelangi sekadar makna maknawi.

Kerana matanya sentiasa terbuka
tidak dia menilik diri
menyukat hitam darah
terbang ia membelai pelangi
walau wujudnya cuma hiasan langit
tanpa mengerti makna maknawi
sinar cahaya jernih hati.

Telah terbakar teratak cinta
terpanah petir harapan
telah roboh bumbung perteduhan
dirempuh tsunami cinta
entah kali keberapa?
terkapar iman di lengkong pelangi.

Kerana egonya telah pudar
menyusup ia ke dalam awan
mengutip benih-benih hujan
dilontarnya ke padang penyesalan tak terucap
menggamit gerimis berpanjangan
membasahi kawah zulmat hatinya.

Pelangi terus menyembunyikan diri
kerana matahari enggan terbit lagi
dan hujan menghanyut terus maruah diri.

Yajuk
Bukit jering
30092010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Dia Yang Mengejar
Pelangi(klip video) disumbangkan pada Isnin, 4 Oktober 2010 10:24:47 PM • Kali
terakhir diubah pada Isnin, 4 Oktober 2010 10:24:47 PM oleh yajuk

Wednesday, April 18, 2012

17.Dia Telah Menemukan Hakikat Dirinya

Dia tidak gagah lagi
sentiasa dia rebah tersandung kaki
pada lembut kain
pada keras batu
kerana berjalannya menggesek lantai
dan rebahnya terpaksa dibangunkan
untuk berjalan lagi.

Detap detik waktu
telah memamah segala kepunyaannya
sehingga keyakinannya bersimpang kalang
sehingga dia menemukan ketakberdayaannya
sehingga dia tahu kuatnya dia adalah Dia
dan kebergantungan hidupnya hanya Dia.

Telah kembali dia kepada kanak-kanaknya
tapi ibubapanya dulu telah lama pergi
untuk dia terus mengharap kasih
tanpa meminta akan datang memimpin tangan
tak mahu jatuhnya terhantuk ke batu
tak mahu rebahnya tersemban ke lantai
kini tangannya kaku diperdu hati
menanti lambaian kasih anak-anak
takut menghulur tangan minta dipimpin
kerana dia tahu kasih ibubapa takkan terbalas oleh anak-anak.

Telah mati segala angan
gerak hatinya termangu di pelantar penantian
bilakah malaikatmaut datang menjemput
dan rebahnya dia,tak perlu bangun lagi.

Yajuk
Bukit jering
01092010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Dia Telah Menemukan
Hakikat Dirinya(klip video) disumbangkan pada Sabtu, 4 September 2010 3:32:50
PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 4 September 2010 3:32:50 PM oleh
yajuk

16.Nota Kecil Dari Anak Kecil

Dingin embun di daun kasih
belum kering di sinar pagi
hangat dipeluk ghairah
hangit dibakar resah
tersasar sudah tombak dan lembing
aku membesar diperut jalang
kecundang diratah jembalang.

Ah,malunya!
sembilan bulan mengandungkan jasadku
ingin segera kau tamatkan
sebelum bumi dan langit merakam cerca
sebelum gebu manis wajah dipenuhi najis
kau campak aku ke dalam takungan najis.

Tidak kau takut balasan Tuhan
tiada hasrat memutih iltizam
memohon keampunan Tuhan
memang salah ibu mengandung
aku terbuang ke dalam longkang.

Masih belum terbit matahari pagi
masih ku nanti cerah langit
aku teresak memeluk
harap
biar hangat tubuh bogelku
di selimut kasih sayangmu.

Ah,anganku bukan mimpimu
tercungap aku menelan najis campur ulat
sebelum lemas tenggelam
disambut Malikilmaut
putih aku datang
bersih aku pulang
sungguh aku sayang
terlalu hitam hatimu
segeralah kembali ke jalan Tuhan
akan ku tunggu dikau ibuku,di pintu syurga.

Yajuk
Bj22082010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Nota Kecil Dari Anak
Kecil(slide show) disumbangkan pada Isnin, 23 Ogos 2010 1:37:37 PM • Kali
terakhir diubah pada Isnin, 23 Ogos 2010 1:37:37 PM oleh yajuk

15.Bulan Tua Di Kaki Langit Salju

Gugur salju
memintas cahaya
membungkus cerah langit
menghadang khusuk zikir pungguk
yang kaku di dahan rapuh.

Bulan tua di kaki langit
meminggir rasa
sayu tumpah ke langit salju
membungkus getir hati
cahayanya mati di hamparan salji.

Membeku khayal insan
di rendah horizon langit salju
menuntut penyaksian jernih hati
berbunga redha dan syukur
di manis cair secangkir madu
yang mengalir di celah hamparan hempedu.

Biar berdebu wajah bulan
di dingin langit salju
memanjang mimpi insan
di garis-garis harapan
menebar senyuman
melayari laut malam
ke taman Firdausi
fana dalam limpah hidayah Tuhan
di khusyuk sujud dan tafakkur.

Yajuk
Bj7072010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Bulan Tua Di Kaki
Langit Salju(klip Video) disumbangkan pada Rabu, 7 Julai 2010 11:37:52 PM •
Kali terakhir diubah pada Rabu, 7 Julai 2010 11:37:52 PM oleh yajuk

14.Ikan Emas Di Gelas Kaca

Ikan emas di gelas kaca
menyimpan hasrat
menghias langit
berenang ia tanpa henti.

Sangkanya tinggi menjolok langit
rupanya tersadai di rak berdebu
memakan dedak campur debu
ditemani rumpai palsu.

Gelas kaca berbunga-bunga
di situ tumpah segala angkuh
bicara manis tuan Algojo
mabuk rebah meneguk wain merah
kini bersemayam ikan emas bistari
diimport dari luar negeri.

Megah Algojo menayang angkuh
ikan emas terkurung di gelas kaca
menunggu waktu air berkelodak
dan kau tercungap kelemasan
terpaksa bernafas dalam hanyir lumpur.

Kasihan ikan emas
“Aku hanya mampu
menghulur simpati”.

Yajuk
Bj30062010.

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Ikan Emas Di Gelas
Kaca(Klip Video) disumbangkan pada Jumaat, 2 Julai 2010 6:46:22 AM • Kali
terakhir diubah pada Jumaat, 2 Julai 2010 6:46:22 AM oleh yajuk

13.Ini Waktu Membelai Kasih Memahat Budi

Selamat Hari Jadi sayang
parti ini
jernih putih hati
ayah bonda membelai kasih
menyalakan lilin
membakar hayat
menyuluh riak ombak
jangan kau tersedak
menelan dedak.

Kembang bunga di taman
adalah harapan
semerbak wangi
tiada duri mencucuk tangan
mengelus damai taman hati.

Terbang kumbang ke langit tinggi
adalah harapan
merentasi panurama hutan rimba
menjejak jalan manusia kemanusiaan
mengutip maanikam
di celah timbunan batu pasir kehidupan.

Selamat Hari Jadi sayang
ini waktu membelai kasih
memahat budi
jadilah diri sebenar-benar diri
sesuci fitrah insani
kaulah khalifah di bumi.

Yajuk
Bj24062010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Ini Waktu Membelai
Kasih Memahat Budi disumbangkan pada Sabtu, 26 Jun 2010 12:31:51 AM • Kali
terakhir diubah pada Sabtu, 26 Jun 2010 12:31:51 AM oleh yajuk

12.Hujan Mengajak Pelangi Cinta Bertasbih

Dalam alpa aku terantuk
mencalar hati membogel iman
terkoyak harap diterjah ombak
aku rebah di ranjang jalang.

Langit keruh
guruh memanah benteng
angkuh memuntahkan hempedu
aku longlai tersiat sembilu.

Hujan menitis
mengelus denai hati
rona hitam berterbangan
disedut cahaya makrifat.

Hati bercanda dengan langit
membenih warna-warna pelangi
menghunjam yakin di empangan iman.

Hati berbisik
“Keruh langit adalah igauan alam
bahasa peringatan Tuhan
untuk langit muncul lebih indah
mengajak pelangi cinta bertasbih”.

Aku bangkit bertongkat hidayah
Pelangi cinta bertasbih memuji Tuhan.

Yajuk
Bj26062010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Hujan Mengajak
Pelangi Cinta Bertasbih(klip video) disumbangkan pada Ahad, 27 Jun 2010
12:58:30 PM • Kali terakhir diubah pada Ahad, 27 Jun 2010 12:58:30 PM oleh
yajuk

11.Menjala Bahagia

Senja ini
melabuhkan mentari cinta
di ufuk peraduannya
selaut bahagia.

Langit berawan
terdiam dalam limpah lailatulqadar
halus menitis kalimah-kalimah suci
mengelus denai hati
menjadi selaut kolam mutmainnah.

Rencam resah laut
mati di dinding tafakkur
bening membasahi taman hati
menjadi selaut redha dan syukur.

Langit dan laut
merakam bait-bait puisi
istiqamah hamba
menjala bahagia.

Yajuk
Bj12062010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Menjala Bahagia(Klip
Video) disumbangkan pada Isnin, 14 Jun 2010 11:35:39 PM • Kali terakhir diubah
pada Isnin, 14 Jun 2010 11:35:39 PM oleh yajuk

Tuesday, April 17, 2012

10.Sebatang Kail Menconteng Langit

Sebatang kail
menconteng langit
adalah harapan
langit tidak memuntahkan taufan
mencipta gelombang pada laut.

Aku di bingkai laut
menumpang zikir ombak
yang tidak pernah berhenti
mengusap pantai.

Sebatang kail
menconteng langit
adalah munajat hamba
langit memuntahkan cahaya
dan laut bermurah hati
menyuburkan mutiara iman di dada hamba.

Aku di bibir pantai
menumpang zikir angin
yang tidak pernah berhenti
menghembus bayu
membelai lembut
helaian daun-daun iman.

Sebatang kail
menconteng langit
adalah jalinan
ayat-ayat cinta
rindu dendam laut
walau sesaat tidak mahu ia
membiar pantai tinggal kesepian.

Aku di gigi laut
menumpang syukur redha pantai
mendakap rindu dendam laut
merelakan diri diterjah
dirobek amarah ombak dan gelombang.

Sebatang kail
menconteng langit
adalah usaha seorang hamba
menuntut redha Tuhan
dalam tenang damai kebahagiaan
atau rencam gelombang kesengsaraan

Yajuk
Bj07062010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Sebatang Kail
Menconteng Langit(Klip Video) disumbangkan pada Rabu, 9 Jun 2010 1:18:01 AM •
Kali terakhir diubah pada Rabu, 9 Jun 2010 1:18:01 AM oleh yajuk

9.Sajak Malam Tanpa Tajuk

Malam suram
hati berbalam
merakam bayang-bayang
berkelip bintang-bintang
menayang harap
malam tidak semestinya kelam.

Malam bernafas lagu sunyi
lagu sepi melayan mimpi
esok ada mentari memutar hari
menjadi lembaran masa lalu.

Malam berbisik pada mentari
“terima kasih tuan
aku menumpang cerah cahayamu
dengan hadirnya bulan di dadaku
terubat sepiku rinduku
mendengar sayup zikir sang pungguk
tak mahu ia tidur mengulit mimpi
kerana esokbelum pasti
nafasnya tidak bungkam mati”.

Bintang-bintang melambai di balik awan
membuang resah pelaut dilambung ombak
berbunga harap bahtera tidak hanyut
esok ada pelabuhan memunggah sarat muatan.

Yajuk
Bj25052010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Sajak
Malam Tanpa Tajuk disumbangkan pada Sabtu, 29 Mei 2010 2:04:08 PM • Kali
terakhir diubah pada Sabtu, 29 Mei 2010 2:04:08 PM oleh

Monday, April 16, 2012

8.Dia Yang Menuntut Janji Cinta

Dia yang menuntut janji cinta
adalah cinta hakiki
janji abadi
hanya Dia hidup dan mati.

Dia yang menuntut janji cinta
adalah Dia yang Baqa
hidup tak mati-mati
mengalir di setiap denyut nadi
kitalah yang lupa
menjadi kadok naik junjung
walau kita bukan milik kita
tunduk patuh pada-Nya semata.

Dia yang menuntut janji cinta
adalah yang ingat tak lupa-lupa
sentiasa menghisab kira
dosa dan pahala
tak tertelan puja puji pilihanraya
tak terbuang dosa dengan wang berjuta
Dialah yang berhak menghadiahkan syurga atau neraka.

Yajuk
Bj01052010


• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Dia Yang Menuntut Janji Cinta
disumbangkan pada Ahad, 2 Mei 2010 4:02:51 PM • Kali terakhir diubah pada
Ahad, 2 Mei 2010 4:02:51 PM oleh yajuk

7.Apa Khabar Kemanusiaan?

Apa khabar kemanusiaan?
kau diinjak kebuasan
kau dibakar kepalsuan
akulah yang lemas di daratan
kau diwar-war menjadi raja
di istana kepura-puraan.

Apa khabar kemanusiaan?
kuturuni tangga persembunyian
menjejak hayatmu
di lurah-lurah pengabdian
masihkah membenih harapan?
akulah yang hilang keyakinan
di lembah peradaban
di jajah parah penghidupan.

Apa khabar kemanusiaan?
mampukah kau bertahan?
dihimpit kedurjanaan
di setiap lompang kehidupan
kau tersula
di rencam mimpi penguasa
makin parah hayatmu
akulah yang kecewa
bila acuan yang datang
bukan dari cinta suci Rabbani
bertaburan di lantai pembuangan sampah
matilah kau sebelum maut datang menjemput.

Apa khabar kemanusiaan?
mana mungkin hidupmu subur
di padang pasir kontang
akulah yang kehausan
tanpa titis-titis hujan
bertemankan kerikil tajam.

Yajuk
Bj26032010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Apa Khabar
Kemanusiaan? disumbangkan pada Selasa, 13 April 2010 2:15:29 PM • Kali terakhir
diubah pada Selasa, 13 April 2010 2:15:29 PM oleh yajuk

6.Menjejak Sangkuriang Di Gunung Tangkuban Parahu

Sangkuriang aku menjejak jalanmu
tidak mati hikayatmu
walau sekadar dongengan
Gunung Tunggul awalmu
Gunung Burangrang akhirmu
Gunung Tankuban Parahu laluanmu
menjalani pemutihan
menuju keabadian cinta Rabbani.

Kau membesar membawa naluri Si Tuming
walau penuh kesaktian
bijaksana dan setiawan
adalah dunia semata
meski kau bunuh Si Tuming
hatimu adalah hatinya
kecintaanmu yang kau suapkan Dayang Sumbi
sedang dia adalah Rarasati
tidak butuhkan keduniaan
hanya mendambakan kasih Tuhan.

Tidak kau temui dirimu
di barat atau di timur
bila hati menerawang ke luar diri
kembalilah kau mencintai Rarasati
ibumu;ibu segala diri
yang merajai jasmani dan rohani
dengan sepenuh hati
menutupi aliran Sungai Citarum
menjernih jiwamu
jangan biar mengalir keluar
tapi menyejukkan dan menyuburkan
segala yang terpuji
menjadi jatidiri yang hakiki.

Sangkuriang bukan siapa-siapa
hanya sebuah dongengan
kegagalan suatu perjalanan
Sangkuriang adalah kita
yang tiba-tiba berlarian
di jalur-jalur kehidupan
tanpa mematuhi rambu-rambu perjalanan
tidak istiqamah dalam pencarian
terjebak di ribuan persimpangan
sedang masa adalah pedang
yang bisa menoktahkan perjalanan
dalam keadaan kita di bungai harapan
akan hidup seribu tahun lagi.

Yajuk
Sat 03042010
Hotel Lembah Sari Mas
Subang Bandung

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Menjejak Sangkuriang
Di Gunung Tankuban Parahu disumbangkan pada Ahad, 4 April 2010 10:49:00 AM •
Kali terakhir diubah pada Ahad, 4 April 2010 10:49:00 AM oleh yajuk

5.Gugur Sehelai Daun

Gugur sehelai daun
dari rendang pepohonan
diinjak haiwan berkeliaran.

Daun jenuh mengunyah waktu hayatnya
waktu pohon erat memaut kasih
waktu burung-burung leka menyambar ulat
di hamparan hijau urat-uratnya.

“Waktu mereput aku di lantai hari
sisa ingatan berdebu di bibir malam
fajar tidak mungkin menyinariku lagi
angin lalu menyapuku ke pinggiran”.

Yajuk
29032010
Kinderland/Somerset
jakarta

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Gugur Sehelai Daun
disumbangkan pada Selasa, 30 Mac 2010 7:52:55 PM • Kali terakhir diubah pada
Selasa, 30 Mac 2010 7:52:55 PM oleh yajuk

4.Aku Yang Luka Di Tapak Kaki

Aku yang luka di tapak kaki
pedih menjalar ke hulu hati
disentap berlari
memijak dawai berduri
di pentas demo kerasi.

Aku yang luka di tapak kaki
menapak suratan takdir
menerjah tajam lambakan kerikil
mencucuk bisa sampai ke jantung
biar percik darah menjadi basahan
ku harungi jua curamnya lurah
menjejak hayat demokrasi
jangan mati sebelum terhenti denyut nadi.

Aku yang luka di tapak kaki
terperangkap di lembah harapan
tertanam ukhuwah di langit perjuangan
rupanya terkepong serigala kelaparan
mengharap pohon gugurkan emas berlian
mengharap guruh mencurahkan emas tempawan.

Aku yang luka di tapak kaki
menapak pasti
ke destinasi
Allah jua hidup dan mati.

Yajuk
Bj23032010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Aku Yang Luka Di
Tapak Kaki disumbangkan pada Khamis, 25 Mac 2010 11:38:41 PM • Kali terakhir
diubah pada Khamis, 25 Mac 2010 11:38:41 PM oleh yajuk

Sunday, April 15, 2012

3.Derai Kokok Si Ayam Jantan

Derai kokok si ayam jantan
mengasah taji akulah yang tajam
mengais mengumpul makanan
mengumpan betina
akulah raja di reban.

Kokokku kokok juara
kerana aku ramai betina
kokokku kokok juara
kerana aku pewaris tahta
kokokku kokok juara
kerana aku penentu segalanya.

Dengarkan!
dengarkan derai kokokku
jangan kau tanya tahtaku di mana?

Yajuk
Bj31012012

SAJAK > 2010
(Januari - Jun)
> Derai Kokok Si Ayam Jantan disumbangkan pada Jumaat, 12
Februari 2010 10:25:52 PM • Kali terakhir diubah pada Jumaat, 12 Februari 2010
10:25:52 PM oleh yajuk

2.Yang Hakiki;Anakku

Anak-anakku
ada diri dalam diri
berlapis diri
kenali sampai yang hakiki.

Anak-anakku
ada cahaya dalam cahaya
berlapis cahaya
kenali sampai yang hakiki.

Yang hakiki;anakku
bukan milik diri
tapi anugrah Ilahi
bertafakkurlah menanti
itulah yang terlebih baik
dari dunia dan segala isinya.

Yajuk
Bj27012010

SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Yang Hakiki;Anakku disumbangkan
pada Khamis, 28 Januari 2010 10:43:08 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis,
28 Januari 2010 10:43:08 PM oleh yajuk

1.Seperti Kilat

Kerana hati dipenuhi karat
tak tertangkap kilasan cahaya
begitu daifnya Allah di sisimu
khawatirnya kau akan penipuan
Nasrani itu terlalu bijak
hingga tak mampu Allah menjaga agama-Nya
Maha Suci Engkau dari apa yang mereka sangkakan.

Seperti kilat memancar di langit
ada orang menadah tangan kesyukuran
akan datang hujan membawa rahmat
akan mencerah laluan ke hadapan
ada orang bersembunyi ketakutan
akan terpanah petir merejam
ahh!siapa sebenarnya bertahta di hatinya.

Benar-benar hebat kau Nasrani
ada senjata makan tuan
kerana sepatah kalimah Allah itu
seluruh dunia Melayu haru biru
memang mereka dungu
bisa kau ambil,ambillah
bukan saja satu
ambillah semua
jika itu Allah kau
jika itu Tuhan kau
aku ada Allah ku sendiri
tak mungkin dapat kau ambil dariku.

Lihatlah pada longgokan sampah
tanyakan pada hati
berdetikkah kasih
berapa banyak nama Allah tenggelam lesap
dibakar menjadi abu
atau kumal hancur digaul hanyir lumpur
Ahh!,di mana sebenarnya keagongan Allah.

Sekadar mengungkapkan kebenaran
bencilah jika mahu membenci
kita sebenarnya selesa berada dalam peti besi
biar beku dan mati
tak perlu memerah fikir
tak perlu bertafakkur menanti
mencuci hati mencelik mata
tak mengapa jika berkarat
asal boleh rehat.

Yajuk
Bj23012010

• SAJAK > 2010 (Januari - Jun) > Seperti Kilat
disumbangkan pada Selasa, 26 Januari 2010 10:59:45 AM • Kali terakhir diubah
pada Selasa, 26 Januari 2010 10:59:45 AM oleh yajuk