Wednesday, April 18, 2012

17.Dia Telah Menemukan Hakikat Dirinya

Dia tidak gagah lagi
sentiasa dia rebah tersandung kaki
pada lembut kain
pada keras batu
kerana berjalannya menggesek lantai
dan rebahnya terpaksa dibangunkan
untuk berjalan lagi.

Detap detik waktu
telah memamah segala kepunyaannya
sehingga keyakinannya bersimpang kalang
sehingga dia menemukan ketakberdayaannya
sehingga dia tahu kuatnya dia adalah Dia
dan kebergantungan hidupnya hanya Dia.

Telah kembali dia kepada kanak-kanaknya
tapi ibubapanya dulu telah lama pergi
untuk dia terus mengharap kasih
tanpa meminta akan datang memimpin tangan
tak mahu jatuhnya terhantuk ke batu
tak mahu rebahnya tersemban ke lantai
kini tangannya kaku diperdu hati
menanti lambaian kasih anak-anak
takut menghulur tangan minta dipimpin
kerana dia tahu kasih ibubapa takkan terbalas oleh anak-anak.

Telah mati segala angan
gerak hatinya termangu di pelantar penantian
bilakah malaikatmaut datang menjemput
dan rebahnya dia,tak perlu bangun lagi.

Yajuk
Bukit jering
01092010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Dia Telah Menemukan
Hakikat Dirinya(klip video) disumbangkan pada Sabtu, 4 September 2010 3:32:50
PM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 4 September 2010 3:32:50 PM oleh
yajuk

No comments:

Post a Comment