Thursday, April 19, 2012

18.Dia Yang Mengejar Pelangi

Dia yang mengejar pelangi
menggadai maruah diri
tiba-tiba hilang keyakinan
musnah di olak ombak
mencari guri emas di umbi pelangi
walau dia tahu
pelangi sekadar makna maknawi.

Kerana matanya sentiasa terbuka
tidak dia menilik diri
menyukat hitam darah
terbang ia membelai pelangi
walau wujudnya cuma hiasan langit
tanpa mengerti makna maknawi
sinar cahaya jernih hati.

Telah terbakar teratak cinta
terpanah petir harapan
telah roboh bumbung perteduhan
dirempuh tsunami cinta
entah kali keberapa?
terkapar iman di lengkong pelangi.

Kerana egonya telah pudar
menyusup ia ke dalam awan
mengutip benih-benih hujan
dilontarnya ke padang penyesalan tak terucap
menggamit gerimis berpanjangan
membasahi kawah zulmat hatinya.

Pelangi terus menyembunyikan diri
kerana matahari enggan terbit lagi
dan hujan menghanyut terus maruah diri.

Yajuk
Bukit jering
30092010

• SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Dia Yang Mengejar
Pelangi(klip video) disumbangkan pada Isnin, 4 Oktober 2010 10:24:47 PM • Kali
terakhir diubah pada Isnin, 4 Oktober 2010 10:24:47 PM oleh yajuk

No comments:

Post a Comment