Friday, April 20, 2012

22.Sebuah Wakaf Di Simpang Tiga


Sebuah wakaf di simpang tiga
adalah gelanggang pertarungan bermain dam haji
telah berlurah jalan dilalui
sudah berkali-kali naik haji
tak tahu di mana kaabahnya
entah bila wukufnya
memintas merancang mengurung lawan
bersenandung mimpi di garisan tanpa pilihan
mengaku kalah untuk kembali menyusun langkah.

Pertarungan tanpa henti menggamit senja
yang menang membusung dada akulah jaguhnya
yang kalah membusung dada mengunci benci
esok akan terus bertempur lagi
masing-masing menjilat bibir memanjat tangga
ternyata perut kosong akan terus menggeroncong
bila periuk belanga juga ternganga tanpa isinya.

ii.

Di wakaf simpang tiga itu
Ah Chong berehat mengumpul tenaga
keletihan menebang balak melombong emas
telah penuh kapal dan kontena
mahu segera pulang membina pencakar langit di kotaraya
masin peluhnya menitik membasahi laman
disedut lahap tuan tanah simpang tiga.

iii.

Sebuah wakaf di simpang tiga
telah runtuh bumbungnya tertimpa mat jenin
terjatuh dari pohon kelapa
rupanya bermimpi kahwin dengan puteri raja
dan penghuni wakaf simpang tiga terus bertarung
menyongsong dada berkali-kali naik haji
menjaja alpa
dan tranformasi berkerapah di kepala tok ketua.

Yajuk
Bj24102010


SAJAK > 2010 (Julai-Disember) > Sebuah Wakaf Di Simpang Tiga(slidesahow) disumbangkan pada Isnin, 1 November 2010 4:37:22 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 1 November 2010 4:37:22 PM oleh yajuk

No comments:

Post a Comment