Saturday, May 5, 2012

43.Sajak Untuk DS Anwar Ibrahim

Telah kau hafal likuan jalan
rencam cenuram tanah tinggi
bila kau mulakan pendakian
di licin berlumut hati batu.


Antara percaya dengan tidak
Kota Melaka hampir roboh dibedil Peringgi
terpaksalah kau berkubu betis
dalam rencam tajam muncung todak
dan tanah pun merekah terpanah petir hasad dengki
hangit terbakar disumpah sampah
yang mahu dipercayai benar segala fitnah.

Di persimpangan harapan marhaen
dan gejolak haloba pemerintah
kau menongkah ganas ombak
mengitar lakun janji petualang
harapkan pagar,pagar makan padi
menumpang sokong,sokong membawa rebah.

Yang putih,tetap putih
walau dipakaikan hitam topeng
maknikam tetap dikenal jauhari
walau direndam hitam lumpur
biar teguh iman di dada
pasti terbelah Laut Merah
membuka jalan kemenangan
dan biarkan Firaun kelemasan
dilambong buas ombak hitam hatinya.

Biarkan gundah berlalu dalam munajat suci
hati bercahaya dalam rimbun taqwa
tidak layu dalam bahang sumpah fitnah
yang benar tetap benar
dan yang salah tetap salah
kerana sumpah hanya mengesahkan
merekalah sumpah-sumpah
yang merasa diri mampu menelan mentari
di langit jerebu janji
akulah pasola menteri yang kebal
dan tak mati kerana berbalut baju besi.

Telah berulangkali kau dibogel dan ditelanjangi
terpaksalah kau merengkok di jeriji berkunci
walau terbukti ia arang yang dicontengkan
oleh tangan-tangan besi
yang mahu melihat kau hangus terbakar
seperti Ibrahim yang mahu dibakar Namruk
kerana cuba menghancurkan berhala
yang mereka sembah dan puja.

Jangan kau terkejut
andai selepas ini kau akan ke sana lagi
menghitung hari tanpa mentari
menghitung malam tanpa bulan,tanpa bintang
tapi percayalah pada keadilan Tuhan
perjalanan pasti ada penghujungnya
kezaliman pasti akan diadili di Mahkamah Rakyat
dan yang pasti tentunya di Mahkamah Tuhan.

Yajuk
Bukit jering
17052011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Sajak Untuk DS Anwar Ibrahim disumbangkan pada Rabu, 18 Mei 2011 1:00:56 AM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 18 Mei 2011 11:46:55 PM oleh dr.irwan 

No comments:

Post a Comment