Saturday, May 5, 2012

46.Basah Lidah Pasola Menteri


Basah lidah Pasola Menteri
membaca sumpah mantera
menghalau mendung awan
segera menutupi cahaya bulan
jangan ia menjadi sinar harapan
di tanah gersang pusaka bonda.

Basah lidah Pasola Menteri
membilang segala jasa
menukar biasiswa kepada pinjaman
bukankah sayangkan anak tangan-tangankan?
biarkan mereka berhutang sekeliling pinggang
menukar pengajaran matematik dan sains kepada BI
itukan bertaraf dunia bukan lagi jaguh kampong?
menukar royalti kepada wang ehsan untuk Kelantan
kerana royalti hanya untuk negeri kerabat dan taulan
dan menghapuskan segala subsidi
kerana kapal sudah hampir tenggelam
Rm2000 belum cukup untuk sara diri
menjadikan marhaen
ayam di kepuk mati kelaparan
itek di air mati kehausan.

Inilah Negara berkebajikan Pasola Menteri
menjadi pohon yang mati akar dan mati pucuk
Bulan semakin menjauh
tinggi meninggalkan tompok awan
gundah merusuh Pasola Menteri
susah menggugah terang cahaya
semakin jelas segala kepalsuan
54 tahun memerintah Negara berkebajikan
kemana hendak diletakkan pergantungan
bila tanah pusaka di serang garuda nanti.

Yajuk
Bukit jering
11062011

• SAJAK > 2011 (Jan-Jun) > Basah Lidah Pasola Menteri disumbangkan pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 13 Jun 2011 2:05:16 AM oleh yajuk 

No comments:

Post a Comment